Cinta
Pertamaku
Sekumpulan pelajar lelaki sedang
berkumpul di bawah sepohon ceri yang rendang. Riuh rendah dengan pekik dan
sorak mereka. Masing-masing membuka cerita, dari perihal sukan, awek dan
sebagainya. Biasalah, nama pun pelajar-pelajar sekolah. Sudah tentu masih
remaja. Dunia mereka hanyalah keseronokan.
Nurul Natrah seorang gadis
pemalu. Berwajah manis dan ayu. Lesung pipitnya yang dalam, menambahkan lagi
keayuannya. Setiap kali dia tersenyum, pasti ramai yang akan tertawan. Hari
ini, Nurul Natrah terlewat ke sekolah. Bukan disengajakan. Tiba-tiba tadi tayar
basikalnya pancit. Terpaksa dia menyorongnya ke kedai basikal, dan bergegas ke
sekolah berjalan kaki. Peluh membasahi diri, tapi Natrah tak kisah, yang
penting dia sudah sampai ke sekolah. Ketika dia melewati tempat pelajar-pelajar
lelaki berkumpul, terdengar siulan-siulan nakal mereka. Ahh..memerah juga pipi
Natrah. Malu benar dia, bila mendengar usikan nakal pelajar-pelajar tersebut.
“Arahh! Ehh, tunggu aku.”
Terdengar seseorang memanggil dari belakang, Natrah menoleh.
“Kau ni kenapa? Menonong saja
jalan. Laju betul. Penat aku kejar tau.”
Salina bersuara dalam kepenatan. Natrah hanya tersenyum. Tahu benar dia
dengan sikap rakannya yang seorang ini.
Mereka terus berjalan menuju ke kelas. Sebentar
lagi, loceng pasti berbunyi. Nasib baik lagi mereka tak terbabas masa. Kalau
mereka sampai selepas loceng berbunyi teruk la mereka. Di kelas, suasana begitu bising, bagaikan pesta
layaknya. Masing-masing sibuk bercerita. Natrah dan Salina menuju ke tempat
duduk mereka.
Tepat masanya loceng pun
berbunyi. Hari ini tak ada perhimpunan.
Sementara menunggu guru yang akan
mengajar untuk pelajaran pertama pagi itu, mereka membuat hal masing-masing.
Biasalah, kerja mereka membuat bising. Entah apa yang mereka ceritakan. Dalam
riuh rendah tu tiba-tiba suasana menjadi sunyi sepi. Masing-masing sudah
kembali ke tempat duduk.
“Bangun! Selamat pagi cikgu.” Ketua
kelas bangun dan menjalankan tugasnya.
“Selamat pagi cikgu,” Semua
murid di kelas 5 sastera itu menurut saja apa yang diarahkan oleh ketua kelas
dan bangun beramai-ramai sambil memberikan ucap selamat. Kebetulan pagi ni
matapelajaran pertama adalah bahasa Inggeris dan cikgunya adalah cikgu Lim.
Cikgu Lim terus memandang semua
pelajar-pelajar di kelas 5 sastera. Dia memandang ketua kelas dan satu persatu
wajah pelajar-pelajarnya itu. Hairan dia, adakah dia yang tersilap, atau pelajar-pelajarnya yang
tersilap?
“Saiful…awak masih mengantuk ke?
Pukul berapa awak tidur semalam?” satu soalan cepumas ditujukan untuk ketua
kelas.
“Errr…semalam, semalam…memang,
saya tidur lewat cikgu. Kenapa cikgu?” Saiful menyoal balas.
“Kamu lupa sekarang ni pelajaran
apa?” Cikgu Lim masih berteka-teki. Sambil tu Cikgu Lim menuju ke meja guru di
hadapan kelas. Sementara Saiful masih bingung dengan soalan cikgu Lim tadi.
“Tentulah matapelajaran bahasa
Inggeris cikgu,” Dengan lurusnya, Saiful menjawab.
“Hmm,..dalam bahasa Inggeris selamat pagi
disebut apa Saiful?” Cikgu Lim menyoal sambil membetulkan cermin matanya yang
senget sedikit. Saiful menepuk dahi, baru sedar akan kesilapannya sebentar
tadi. Seisi kelas riuh rendah. Masing-masing baru terfikir akan maksud sebenar
cikgu Lim.
**********************
Masa berlalu begitu pantas. Kalau tadi
matapelajaran pertama, sekarang sudah sampai masanya untuk semua orang mengisi
perut. Tibanya waktu rehat. Waktu yang dinanti-nantikan oleh setiap pelajar.
Natrah macam biasa menghabiskan masanya di perpustakaan sekolah. Natrah memang
minat membaca, jarang dia bersama-sama rakan yang lain ke kantin sekolah.
Rimas,..ramai sangat orang sampai terpaksa berbaris panjang.
Natrah menuju ke rak kegemarannya.
Buku-buku novel tersusun kemas di rak. Satu persatu Natrah membelek
tajuk-tajuknya. Ada sebuah novel yang begitu menarik minatnya,’Kau sayangku’,
hasil karya penulis terkenal Bikash Nur Idris. Dicapainya novel tersebut.
Semacam ada seseorang yang sedang
memerhatikan dirinya. Natrah memanggungkan kepalanya. Dupp..tiba-tiba jantung
Natrah berdegup kencang. Matanya sedang bersatu dengan sepasang mata lain yang
begitu asyik memerhatikan dirinya di sebalik rak. Mereka saling berpandangan.
Natrah merasakan seluruh urat nadinya juga sedang bergetar hebat. Apa tidaknya,
itulah sepasang mata yang selalu jadi igauannya siang dan malam.
Danial Hakim Faiz,itulah
namanya. Memang Natrah sudah meminatinya sejak ditingkatan satu lagi. Entahlah
kenapa? Natrah sentiasa rasa berdebar-debar setiap kali berbalas pandang
dengannya.
“Kau sayangku,.” Selafaz Faiz
meluahkan kata dan berlalu pergi. Natrah masih terpaku di situ. Dia sedar Faiz
hanya membaca tajuk novel yang dipegangnya. Ahh..Faiz ni bikin hatiku kacau
saja. Natrah berkata- kata di dalam hati.
“Arah, kau ni tak ada kerja lain? Asyik
membaca saja. Tak boring ke?”
“Entah, aku tengok kau ni asal rehat
saja cari buku. Asal cari buku saja rehat.” Macam sepakat saja Salina dan
seorang lagi kawan baik Natrah, Asmah. Mereka bertiga memang berkawan rapat
sejak sekolah rendah lagi. Kawan-kawan mengelar mereka tiga sekawan.
“Korang yang dengki sangat ni
kenapa? Biarlah, dah ini saja minat aku.”
“Bukan ada lagi ke yang kau
minat?” Asmah cuba mengorek rahsia. Ketika mereka datang tadi mereka terpandang Faiz. Sangka mereka,
tentu Faiz bersama Natrah sebentar tadi. Bukan mereka tak tahu macam mana
Natrah tu minat sangat dengan Faiz, dan Faiz pun selalu berkirim salam pada
Natrah. Selalunya merekalah yang jadi orang tengah antara Natrah dan Faiz.
“Minat apa pula? Mana ada. Kau
ni Asmah, jangan melalut boleh tak?”
“Aku pula yang melalut.
Lina..kau tengok la kawan kita ni. Macam la kita ni tak nampakkan...”
“Ntah, nak berahsialah pulak!” Salina
mencuit bahu Natrah dan mengenyitkan
matanya. Natrah mengulum senyum. Faham benar apa yang dimaksudkan oleh
kawan-kawannya itu. Loceng berbunyi menandakan waktu rehat sudah tamat. Tiga
sekawan bergegas untuk ke kelas.
***********************
~As Salam, buat apa tu? Natrah
sihat?’’~
Hahh, siapa pula yang hantar
mesej ni? Tak kenal pula nombor ni. Natrah tertanya-tanya pada dirinya sendiri.
Namun Natrah tetap membalas mesej tersebut.
~Waalaikumussalam, sape ni?~
Lalu perkataan send terus di tekan. Sebentar
kemudian, sekali lagi telefon bimbit
Natrah berbunyi menandakan ada mesej yang sedang masuk.
~Faiz~
Natrah membaca mesej tersebut,
Faiz? Faiz mana pula ni? Takkan Danial Hakim Faiz kot? Tak mungkin dia.
Rasa-rasanya aku tak pernah bagi nombor telefon aku pada dia. Tapi, bagaimana
dengan Asmah dan Salina? Ah, kacau ni. Natrah bermonolog dalaman.
~Faiz mana?~
~Berapa
orang faiz yang natrah kenal~
~ramai~
~aduhh..hancur
luluh hatiku~
~nape pula?~
Natrah terasa lucu dan mula rasa
berdebar. Jangan-jangan ini la Faiz aku? Natrah tersenyum sendirian. Lagak
orang sewel pula.
~awak.. jangan la uji saya macam ni~
Mereka berbalas mesej. Natrah
seakan terkena kejutan elektrik. Jantungnya sudah mula berdetak hebat. Adakah
aku sedang bermesej dengan dia? Aku mesti dapatkan kepastiannya.
~ni danial faiz hakim ke?~
~ya la sayang, faiz mana lagi~
Apa? sayang? Ya Allah, benarkah
ini? Adakah aku sedang bermimpi? Yahoo..ya be da beduuu. Akhirnya, Natrah sudah
mula ditimpa perasaan. Bibirnya sentiasa mengukirkan senyuman.
**********************
Beberapa
tahun kemudian,…
“Kenapa ni sayang? Sejak tadi
abang tengok sayang senyum saja sorang-sorang?” Faiz menegur Natrah. Sudah
seminggu mereka mendirikan rumahtangga. Tak sangka betul, cinta yang disemai
dalam diam akan membuahkan hasil. Habis SPM mereka membawa haluan
masing-masing. Mungkin sudah berjodoh. Mereka dipertemukan kembali.
“Tak ada apa la bang. Arah
teringat zaman persekolahan dulu.”
“Sayang ingat siapa?”
“Ingat abang la. Siapa lagi?”
Natrah memancungkan bibirnya. Pura-pura merajuk la konon.
“Abang dah ada di sisi sayangkan.
Kenapa nak ingat lagi?”
“Memang la, Arah bersyukur
sangat. Tapi bila diingatkan kembali, kadang-kadang rasa lucu juga. Bila Arah
mula suka kat abang, Arah ingat Arah hanya bertepuk sebelah tangan. Tapi, bila
Asmah bagi tahu yang abang berkirim salam, Arah macam tak percaya jerr…” Natrah
merebahkan kepalanya di bahu Faiz. Bahagianya bila dapat berbuat begitu. Rasa
aman dan dilindungi. Membuak-buak perasaan kasih dan sayangnya terhadap
suaminya itu.
“Ehh, sekejap. Bukan sayang ke yang
berkirim salam dulu pada abang?”
“Ishh..mana ada.” Natrah mendongak
memandang wajah Faiz. Mereka saling berpandangan.
“Abang yang berkirim salam
dulu. Arah mana pernah pun berkirim salam dengan abang. Arah malu la nak buat
macam tu. Nanti apa pula kata orang. Arah ni kan perempuan. Takkan perigi nak
cari timba kot.” Faiz hilang kata-kata dan kebingungan, tapi selepas itu Faiz
ketawa terbahak-bahak.
Natrah memukul bahu suaminya. Suka
pula dia. Mendengar saja Faiz ketawa, Natrah
terus penasaran. Entah apa yang begitu melucukan suaminya.
“Abang ni kenapa? Tiba-tiba jer? Lucu sangat ke bang?”
Bertalu-talu soalan Natrah pada suaminya
itu. Faiz masih lagi dalam mod lucu. Patut la kali pertama Natrah keluar
berdating dengannya, Natrah gugup semacam saja.
“Tak ada apa la sayang.
Tiba-tiba abang teringatkan waktu mula-mula abang keluar dengan sayang. Abang ingatkan
sayang tak sihat masa tu. Siap mengigil lagi, tapi dahi tu berpeluh. Cemas juga
abang masa tu.” Natrah turut tersenyum mendengar penjelasan suaminya. Itu semua
Salina Dan Asmah punya pasal. Paksa dia keluar bertemu dengan Faiz. Mereka pun
tahu, Natrah tu pemalu tapi mereka juga membantu Natrah sebenarnya. Pertemuan
itu menjadikan hidup Natrah amat bermakna.
“Abang tahu tak, masa tu Arah
gugup sangat. Sebab abang la orang pertama yang Arah suka. Abanglah cinta
pertama Arah. Bagi Arah, biarlah abang jadi cinta pertama dan terakhir dalam
hidup Arah. Arah sayang abang.”
“I love you too sayang.
Sepatutnya kita kena ucap terima kasih pada Salina dan Asmah, kerana merekalah
yang telah menyatukan kita. Bersyukur juga kepada Allah, kerana telah
menjodohkan kita.” Faiz menarik Natrah dekat padanya. Dikucupnya dahi Natrah
berkali-kali. Rasa bahagia menyelinap ke seluruh urat nadinya.
Natrah juga cinta pertamanya
tapi memandangkan Natrah selalu bersorong tarik dengannya, Faiz tak berani
meluahkan perasaannya. Lagi pun, ketika itu Natrah digilai ramai. Tapi takdir
menentukannya. Natrah kini sudah dimilikinya. Moga kebahagian juga milik mereka hingga ke hujung nyawa.
No comments:
Post a Comment